27 Julai 2016

Tak Sedar Cakap Depan Cermin



Kadang-kadang bila kita nasihat orang, mengata orang pung pang pung pang sana sini, tanpa kita sedar kita bercakap depan cermin... kita tak sedar nasihat, makian dan kita tu sebenarnya berbalik kepada diri kita sendiri... ya la... terlalu sibuk ambil tahu hal orang, rupanya kita sendiri yang buat perkara yang sama.

Kalau benda yang baik tak ada masalah, tapi bila benda tak baik, sedap kita mengata dan mengumpat, tapi tanpa kita sedar, kita cakap kat diri kita sendiri... sebab apa? Sebab kita tak sedar pun kita buat perkara yang sama.

Kadang-kadang bila kita nasihatkan orang, kita rasa kitalah paling hebat, paling bagus dalam menasihati orang... tapi bila perkara yang sama jadi dekat diri kita sendiri, will we take the same action and advise? No!!! Kita lupa akan nasihat yang kita pernah bagi dekat orang, kita lupa akan amaran dan peringatan yang kita luahkan... sebab apa? Sebab ego dalam diri tak pernah mengakui semua tu...

Aku pun alami benda yang sama... nasihat orang bukan main lagi... suruh move on, kuatkan semangat, ada orang yang lagi teruk kena... tapi bila kena pada diri sendiri, susah untuk aku terima kononnya akulah paling teruk kena dugaan. Sebab apa? Ego!!! Sebab apa? Sebab cermin yang ada di depan mata dah jadi lutsinar dek kerana ego dalam diri yang sukar nak akui...


Kebenarannya, sebelum nak mengata, menasihati dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam situasi orang tu supaya kita lebih bersedia untuk hadapi perkara yang sama... aku pun bukanlah sempurna, cuma belajar untuk menjadi yang lebih baik... sebelum kita nak kata kat orang, cermin dulu diri sendiri atau dalam erti kata lain, ukur baju di badan sendiri...

24 Julai 2016

Perkampungan Orang Asli Kuala Mu, Sungai Siput



Kali kedua aku masuk ke perkampungan orang asli selepas aku masuk ke perkampungan orang asli buat kali pertama di Royal Belum, aku masih tak dapat lari dari pemikiran tipikal orang yang tak pernah masuk ke perkampungan orang asli, aku membayangkan rumah-rumah daripada buluh dan tak ada eletrik... heheheh... 

Tapi sangkaan aku salah, perkampungan orang asli di Kuala Mu (dan juga di Royal Belum) dah maju... maksud aku bukannya maju dari segi ada shopping mall, wifi dan sebagainya, tapi pembangunan di perkampungan orang asli ni dah setanding dengan orang kampung... tak terasa pun sebenarnya aku di kampung orang asli...



Kali ni, aku dapat bermalam kat sini dan dapat tengok tarian tradisional orang asli... satu impian terlaksana... semua lengkap kat sini, ada klinik, pemandangan cantik (ditambah ada sungai), kemudahan lengkap... jadi tak terasa sangat bezanya kalau aku balik ke kampung... cuma bezanya, kalau kat kampung aku dikelilingi bendang dan kelapa sawit, kat sini dikelilingi hutan dan gunung.

Dua jam setengah kena naik 4WD dari Kampung Bawong di Sungai Siput, memang agak menyakitkan bontot, tapi seronok...



Elok sampai dan sembang dengan penduduk sini... terus dibawanya kami durian hutan... bukan durian kampung tau... tapi durian hutan... rasanya sangat berbeza dengan durian kampung dan musang king... tapi... aku makan dua ulas ja, dah buatkan aku 'panas'... mungkin sebab lain kot rasanya berbanding durian yang aku pernah makan sebelum ni...



Kalau perjalanan masuk ambil masa dua jam setengah dan bagi aku macam kurang mencabar sikit jalannya (macam aku pulak yang drive), tapi masa balik sangat menyesakkan dada... berdebar rasa dada ni dengan jalan licin dan turun bukit... bagi abang driver tu, dia kata biasa ja macam tu... ada yang lagi mencabar katanya... huhuhu...





Cumanya, aku harap aku dapat datang ke perkampungan orang asli bukan atas kerja, tapi bercuti... jadi aku dapat rasai dan tengok sendiri cara kehidupan orang asli yang sebenar...

Datang sekejap-sekejap ni, kurang feelnya... huhuhu...


Ps: Di Kuala Mu cuma ada line telefon sahaja... internet tak ada...bila dah turun ke Sungai Siput, mak aiii...banyak gila whatsapp menderu masuk...


22 Julai 2016

Hangat-Hangat Tahi Ayam...



Aku rasa aku ada masalah ni...masalah hangat-hangat tahi ayam... sebab apa? Sebab selalunya (jarang sebenarnya) aku nak siapkan kerja yang perlukan komitmen yang tinggi dan makan masa... tapi kalau kerja tu memerlukan komitmen yang sekejap dan tidak memakan masa, aku akan siapkan mengikut waktu yang dikehendaki...

Contoh paling jelas, novel yang aku buat... kalau korang ada baca dan ikut blog aku... aku ada terbitkan beberapa bab novel yang aku tulis, Dia BFF Aku, sebanyak tujuh bab... lepas tu?? Ya hadooo... hilang entah ke mana... nak sanbung tulis? Entah la... balik kerja aku dah malas nak bukak laptop...

Walaupun aku boleh tulis di handphone aku dan simpan dalam draft...tapi tak ada feel menulis tu... lagi pun aku kena baca balik bab sebelum tu untuk aku buat jalan cerita yang menarik...

Nak tulis masa off-day aku? Lagi la aku malas... selalunya off-day aku, aku akan balik ke kampung (yang memang pasti aku takkan bawa balik laptop), atau kalau aku ada di Ipoh, aktiviti aku penuh untuk hari cuti tu... jadi bilanya aku nak menulis?

Blog boleh pulakkan aku update ... hahahaa... sebab blog tak memerlukan masa yang lama untuk menulis... lima minit pun dah cukup untuk aku siapkan satu entry blog...

Mungkin aku akan sambung penulisan nov aku bila aku dah pencen nanti... itu pun kalau aku masih berminat baca novel la memandangkan novel sekarang pun jalan ceritanya sama, jadi hilang idea untuk kembangkan plot cerita...

Insya Allah, kalau ada rezeki, aku akan siapkan novel aku tu.. dan janganlah ikut perangai aku yang ni... sangat-sangat tak elok...

21 Julai 2016

Jangan Tengok Filem Skiptrace


Jangan tengok filem Skiptrace kalau korang bukan peminat Jackie Chan...hehehehe... tapi siapa yang tak minat Jackie Chan kan? Semua minat tambah-tambah yang umur 20-an sampai 40-an... legenda filem aksi tu...

Memandangkan aku nak menghabiskan sisa cuti aku bulan ni, lepas ambil roadtax moto, terus aku ushar tiket wayang di Kinta City... ngam ada pukul 4 petang, terus beli... macam biasa, satu baris kerusi tu, aku duduk sorang... forever alone sangat kan...hahahaha....

Jalan cerita menarik, cerita kepolisan yang tak dapat lari dari Jackie Chan... dari awal penceritaan dah boleh nampak macam mana jalan cerita ni akan berakhir... cuma bagi aku, aksi-aksi dalam filem ni macam agak kurang berbanding dengan filem-filem sebelum ni... mungkin sebab Jackie Chan pun dah tak larat dah kot, dah tua...

Komedi pun bagi aku macam agak kurang walaupun ada... mungkin nak fokuskan pada aksi-aksi yang menarik...

Tapi... yang agak mengecewakan bagi aku, kesan CGI yang digunakan dalam filem ni memang betul-betul nampak CGInya... apa yang aku perasan, ada empat babak CGI... bagi aku la babak tu CGI atau mungkin aku yang tersalah tengok...

Apa pun, bagi peminat Jackie Chan, filem ni masih berbaloi untuk ditonton... aku bagi 7.5/10 bintang.

18 Julai 2016

Mentaliti Jamban Gaya Pemikiran Rakyat Malaysia?



Buku ni aku beli di MPH Quill City Mall masa aku pergi berbuka puasa di KL dengan bos aku baru-baru ni dan aku baru dapat habiskan membaca buku ni semalam... bila aku baca, aku dapat tangkap apa yang cuba disampaikan oleh penulis buku... point yang disampaikan aku rasa cukup kena dengan sikap dan mentaliti rakyat Malaysia...

Walaupun perbandingan dibuat antara Malaysia dan German, kita dapat tengok macam mana berbezanya mentaliti dan sikap rakyat Malaysia dan German dalam kehidupan seharian. Kenapa German? Sebab penulis, Khairul Abdullah, pernah menetap di negara tu dan Eropah untuk beberapa tahun...

Perkara yang disampaikan dalam buku tu, cukup untuk menunjukkan bagaimana sikap kita di Malaysia ni (kebanyakkannya) dalan kehidupan seharian... bukan dalam satu aspek, tapi dalam pelbagai aspek... buku ni berjaya buatkan aku terfikir balik apa yang aku dah buat dalam kehidupan seharian...

Tak percaya? Cuba beli buku ni, baca dengan pemikiran yang terbuka dan fikir...jangan setkan dalam kepala kita sebuah Mentaliti Jamban... harga pun cuma RM25... tak semahal mana pun... kalau telefon yang berharga ribuan ringgit boleh beli, takkan buku yang berharga tak sampai RM30 pun tak boleh?









BACALAH BUKU INI. ORANG YANG TAK BACA, BERAKNYA TAK PUAS.

PS: Buku ni buka hanya sekadar caption macam dalam gambar ni semata-mata...tapi full page artikel berselang-selikan gambar dan caption... bukan macam sesetengah buku, ayat dua tiga baris untuk satu page..

Selamat Tinggal Running Man



Aku mula tengok Running Man selepas terpengaruh dengan budak rumah aku di masa aku belajar di Pulau Pinang dulu... itu pun secara tak sengaja bila aku dengar kawan aku tu mengekek sorang-sorang... bila dah terjebak, mula la tak boleh tinggal... setiap minggu tunggu kawan aku dapatkan episod terbaru Running Man dari makwe dia...

Masa di Shah Alam pulak, aku yang jadi tukang download dan edarkan dekat kawan-kawan aku sama ada dekat budak rumah aku, senior aku dan budak kelas... memang tak tinggal dan kononnya, bila tengok Running Man, hilang segala tekanan tugasan kuliah...hehehe...kononnya... sama jugak masa praktikal...memang aku tak tinggal tengok Running Man, tapi dah mula skip-skip dah...

Tapi sekarang, memang dah lama aku tinggal... aku rasa dekat setahun jugak kot aku tak tengok Running Man... episod terakhir yang aku tengok, rasanya dalan episod 253 kalau tak silap... sekarang aku tak tahu la dah episod berapa...

Dulu aku sangat minat sampaikan aku joined group Running Man di Facebook dan beli t-shirt dua helai dan keychain Running Man...sekarang ni... tak tengok langsung...

Nak kata takda masa, malam (kalau aku tak ada program) memang aku tak buat apa...lebih kepada membaca buku dan online... nak bukak laptop?hermm..dah berhabuk dah laptop..hahaha...

Mungkin masanya dah tiba untuk aku ucap selamat tinggal Running Man..terima kasih dah hiburkan aku untuk lima tahun ni... terima kasih Jae Suk, Jong Kook, Kwang Soo, Ha Ha, Suk Jin, Ji Hyo, Gary...

16 Julai 2016

Penat Ulang Alik Ke Jamban

Dari petang jumaat lepas aku makan tengah hari di satu kedai mamak, perut aku terus memulas... pada mulanya aku ingatkan masuk angin sebab aku makan tengah hari pun dah lewat, dalam pukul 4 petang baru nak makan tengah hari...

Tapi bila sampai ke malam aku asyik ulang alik ke tandas dan aku alami cirit-birit...aku dah syak yang aku keracunan makanan... tapi aku makan apa? Budak pejabat aku yang ikut sekali makan kat kedai mamak tu dan ambil lauk ayam kampung yang sama, dorang okay je, aku je yang tak okay...adeihhh...

Lepas tu baru teringat yang aku ada ambil macam sambal dekat kedai mamak tu... aku sorang ja yang ambil dan kawan-kawan pejabat aku tak ambil... aku syak sebab sambal tu...

Adeihhh...letih ooo ulang alik ke jamban... tapi nasib tak teruk sangat... cuma jadi letih... nak minum air pun tak ada selera... makan pun paksa je...

Bila post kat Facebook, macam-macam petua yang aku dapat... yakult, air bancuhan tepung gandum, ubat charcoal... tapi aku tak cuba pun...hehehehe... harap esok okay dah... kalau tak, terpaksa jugak aku ke farmasi...

12 Julai 2016

Baru Aku Rasa...



Kalau sebelum ni, aku dengar ja cerita orang betapa seksanya nak bayar roadtax dan insurans kereta, tapi kali ni, aku sendiri yang rasa walaupun untuk motor... sekali keluar...tak sangka banyak jugak...

Semalam aku ke kedai motor untuk renew roadtax motor aku dan insurans buat pertama kali... motor aku sebelum ni, abah yang bayar... tetapi memandangkan sekarang aku dah kerja dan motor baru, aku la yang kena bayar... hambik kau... RM745.00 termasuk roadtax, insurans, duit bulanan motor dan servis motor... itu baru motor, kalau kereta aku tak tahu la berapa pulak...mungkin makan seribu jugak la kot...

Bila aku fikir-fikir balik, rasanya aku takkan ambil kereta kot dalam setahun ni... merempit ja la dulu... mungkin bila motor aku dah nak habis bayar, baru aku fikir nak ambil kereta... jadi dah kurang sikit kos kat situ...

Mana tahu kalau ada rezeki, tiba-tiba dapat kereta sebijik, free pulak tu... hehehehe...

11 Julai 2016

Kawan Raya Baru



Memandangkan raya keempat baru aku cuti, barulah aku keluar beraya...agak jauh, aku keluar beraya di Bertam dan kawasan sekitar... mulanya aku macam malas nak pergi sebab jauh, tapi memandangkan aku dah berjanji awal dengan Nini dan Cici, aku tunaikan jugak... cadangnya aku nak merempit sampai ke Bertam, kebetulan Shasha pun nak joined beraya, jadi aku rempit sampai ke Perda dan Shasha ambil aku di McD Perda... teringat zaman diploma dulu...



Ini kali kedua aku jumpa Nini dan Cici... sebelum ni cuma menggila di Whatsapp group KFCNS (Kiyah, Firdaus, Cekwa, Nadia dan Sha)... jadi bila jumpa, takda la rasa macam awkward sangat, dan rumah yang aku pergi beraya tu pun, aku tak kenal... semuanya kawan-kawan Nini..



Jadi dapat la kawan baru... yang aku ingat... Dila, Riya, Suba, Che Dey, Fal, dan dua tiga orang lagi... hehehe... tak ingat nama... nasib la semuanya 'gila' dan boleh masuk sekepala dengan aku...

Insya Allah persahabatan yang baru terjalin ni diharapkan kekal lebih lama... tak salah nak tambah kawan baru... orang kata, berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali...



Habis beraya dalam jam 8.30 malam tu, terus kami ke Kapitan Perda sebab aku dengan Cici teringin nak makan Briyani Claypot kat situ... jujur aku cakap, briyani claypot Kapitan adalah yang terbaik... aku pelik, walaupun dah makan macam-macam, dari laksa, nasi tomato, spaghetti... perut aku masih boleh sumbat dengan briyani claypot...hehehe... aku bela saka mungkin...hahahaha...

Beza Raya Dulu dan Raya Sekarang



Genap seminggu raya... kejap ja rasa dan badan pun kejap ja dah rasa berat makin bertambah hasil daripada seminggu raya...hehehehe... tapi itu bukan isi yang aku nak cerit...

Sebenarnya, dah banyak tahun dah aku rasa raya sekarang ni tak sama macam dulu... tak meriah termasuklah malam raya... aku tak tahu la sama ada sebab aku dah besar (sememangnya aku ni besar) atau budak-budak sekarang tak tahu erti kutip duit raya.

Kalau dulu, boleh kata setiap 10 minit ada budak datang rumah bagi salam, dari pagi orang belum habis sembahyang raya, sampai la ke waktu Maghrib, tak berhenti budak-budak... tapi sekarang ni, tengah hari pun tak ada budak-budak... kadang-kadang sejam sekali baru ada budak bagi salam...



Kalau dulu, orang tua nak keluar beraya masa raya pertama tu, jangan mimpi la nak keluar, budak-budak penuh kat rumah, tapi sekarang, siap boleh pergi beraya lagi masa raya pertama.

Kalau dulu, keluar ja ke jalan kampung, penuh budak-budak berjalan kaki dan naik basikal, sekarang? Kosong, lengang, siap boleh main tengteng lagi atas jalan...

Kalau dulu, jangan harap nak sempat mandi dan tukar baju sebab orang sentiasa datang ke rumah, sekarang ni? Habis ja sembahyang raya, tengah hari dah pakai tshirt... ehh... siap boleh tidur lagi depan TV...



Kalau dulu, bunyi mercun dari lepas maghrib sampai ke subuh, sekarang? Bunyi Whatsapp telefon je yang tak berhenti... itu pun ucapan raya yang di 'copy-paste' kan...

Peredaran masa... budak-budak pun takda dah nak merasa semua tu... semua sibuk dengan gadjet masing-masing... nasib aku sempat rasa semua tu...heheheh....

Cerita Raya Tak Berapa Raya



Seminggu blog aku bercuti sebab raya...ye la... kalau orang kerja gomen cuti, sama la blog aku..heheheh... selamat hari raya semua, maaf zahir dan batin... raya kan sebulan...



Tahun ni, aku kena kerja masa raya... dari raya pertama sampai raya ketiga... sebelum raya pun tak ada cuti... nasib la tak berapa ada kes yang besar sangat... aku pun standby ja untuk balik ke Ipoh kalau ada kes besar... dan kebetulan masa rumah terbuka di kediaman rasmi menteri besar, ramai orang tanya pasal isu politik, nasib baik ada rakan media yang sudi berkongsi maklumat dengan aku, jadi dapat jugak aku siapkan berita...



Kerja macam aku ni masa raya sangat tak best... nak keluar beraya pun tak seronok takut tiba-tiba ada kes besar... nasib tak ada... kalau tak, menangis tak berlagu di bucu rumah... huhuhu...



Tapi raya pun aku tak rasa macam raya...sebabnya, aku malas nak keluar beraya... mungkin aku ikut perangai abah kot... tunggu ja orang datang rumah... tak pun tunggu kawan-kawan ajak beraya. Rumah saudara rapat aku pun, aku pergi dengan mak abah aku... kalau tak...hahahah... mungkin bila aku dah beristeri baru aku rajin nak keluar beraya...



Lagi pun salah satu sebab aku malas keluar beraya sebab aku tunggu rumah untuk layan budak-budak... budak-budak bagi salam, aku terus tanya 'hangpa nak makan ka nak duit raya?' (Lepas jawab salam)... hahaha... selalunya budak-budak akan cakap nak duit raya ja... kalau nak makan tu, tipu sangat... dah tentu kenyang gila... tapi aku hidangkan juga kuih raya... takda la kejam sangat...



Tapiiiii... ada sesetengah budak panggil aku 'PAK CIK'!!! Masalahnya, muka aku ni nampak tua sangat ke??

Jom Usharrrr

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...